COVID-19: Brunei kesan 21 kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19 terendah sejak gelombang kedua COVID-19 melanda negara pada Ogos lalu, iaitu 21 kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 14,399 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikan perkara tersebut semasa sidang media harian , di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, terdapat tambahan enam kes baharu kepada empat kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, kongsi beliau, terdapat dua kluster baru telah dikesan yang melibatkan tujuh kes.

Yang Behormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan mengenai jumlah kes baharu semasa sidang media kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Kedua-dua kluster baru ini iaitu Kluster Sg Hanching Construction staff house dan Kluster Elmar General Contractor Sdn Bhd adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Tiga kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster 6839, Kluster Trentset Construction Sdn Bhd dan Kluster Anggerek Desa staff house, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 161 kluster.

“Selain itu, terdapat satu kes import yang dicatatkan pada hari ini yang telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Jakarta dengan menaiki Penerbangan Singapura SQ 148 pada 12 November,” tambah beliau.

Manakala, terdapat tujuh kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“71 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 13,857 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 444 kes,” jelasnya lagi.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.”

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,678 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 575,303 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama mematuhi segala garis panduan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan semasa pandemik COVID-19 ini.

“Insya Allah dengan adanya usaha yang sepadu dan dengan bertawakkal kepada Allah SWT Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa dilindungi dan dipelihara jua,” kata Yang Berhormat Dato.