COVID-19: AS catat angka korban, jangkitan tertinggi

PARIS, 12 APRIL – Amerika Syarikat (AS) muncul negara paling terjejas dengan wabak COVID-19 apabila mencatatkan jumlah tertinggi di dunia bagi kedua-dua kes kematian dan jangkitan.

Wabak itu telah meragut lebih 107,000 nyawa di 193 negara dan wilayah, menurut penjumlahan AFP berdasarkan sumber rasmi, setakat jam 7 malam tadi. Lebih 1.7 juta kes jangkitan dilaporkan, namun angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi berikutan banyak negara hanya membuat saringan kesihatan terhadap kes paling serius.

Pegawai mengesahkan mayat pesakit COVID-19 yang tidak dituntut, telah dikebumikan dalam kubur besar yang tidak bertanda di Pulau Hart, New York. Pihak berkuasa telah menggunakan kawasan itu sejak lebih 150 tahun lalu untuk mengebumikan mayat tidak dituntut, orang tidak dapat dikenal pasti dan penduduk yang keluarga mereka tiada kemampuan membiayai kos pengebumian swasta.

Akhbar The New York Times melaporkan, dalam sehari kira-kira 25 mayat dikebumikan di sana, berbanding hanya 25 mayat seminggu sebelum wabak itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan bahawa penarikan balik perintah berkurung sebelum waktu sepatutnya, boleh mencetuskan penularan semula penyakit itu secara dahsyat. – AFP