COVID-19 cetus bekalan darah ke tahap kritikal

DAKAR – Ketika koronavirus baharu melanda Senegal, semakin banyak doktor dan pesakit di negara Afrika Barat merasakan salah satu penderitaan yang dicetuskan oleh wabak itu ialah kekurangan bekalan darah.

Pada bulan Mei lalu, dua bulan setelah kes pertama direkodkan di sini, bekalan darah mulai hampir habis, kata Saliou Diop, pengarah Pusat Nasional Transfusi Darah (CNTS).

“Kami melihat penurunan sumbangan darah sebanyak 26 peratus pada bulan Mei kerana sekatan pengumpulan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

Jumlah jangkitan yang disahkan di Senegal mendekati angka 9,000, dan lebih daripada 2,500 kes masih dalam rawatan. Keadaan yang semakin buruk menambah kerisauannya mengenai bekalan darah, yang menjadi kunci kepada hospital untuk masa-masa sukar.

“Pasukan bergerak kami, yang biasanya bergerak untuk mengumpulkan darah, tidak berfungsi lagi selama tempoh larangan. Sekarang kami hanya mempunyai stok untuk sekitar lima hari,” kata Diop.

Berikutan dengan penularan wabak koronavirus, Senegal telah mengalami kekurangan bekalan darah. – Xinhua

“Keprihatinan kami adalah untuk melihat bagaimana percutian musim panas akan berjalan. Kami harus mengawasi percutian, kerana ini adalah masa di mana jumlah penderma paling sedikit,” tambahnya.

Pada pagi hari Jumaat (17 Julai), sebelum perhimpunan petang dan doa tradisional, acara derma darah berlaku di Pikine, bandar kedua paling ramai penduduk di negara ini.

“Kami akan mengikat tali pada lengan penderma bagi membolehkan urat kelihatan. Saya menjumpai urat di sini. Sebelum menyucuk jarum, saya akan membersihkannya dengan alkohol,” kata Nar Fall, seorang jururawat muda dengan jarum di tangannya.

Momoudou Saudi, seorang pelajar undang-undang berusia 24 tahun, duduk di hadapannya, memerhatikan darah yang dikeluarkan dari lengan kanannya dengan senyap.

“Ada orang yang memerlukan ini, misalnya, orang yang mengalami luka akibat terbakar, wanita menderita kehilangan darah yang berlebihan setelah melahirkan. Sekiranya anda menderma darah anda, anda akan menyelamatkan nyawa, jadi itu sesuatu yang bagus,” katanya.

Bilik di mana lima jururawat bekerja di dalamnya, telah dibersihkan dengan semua meja dan kerusi ditolak ke dinding. Mereka mengatakan bahawa mereka menantikan 80 penderma dalam sehari, dengan sekitar 40 liter darah untuk diambil secara keseluruhan.

“Di tengah pandemik COVID-19, kadang-kadang kita menghadapi kesulitan tertentu. Walaupun kita telah membuat semua urusan kita untuk memberitahu mereka dan memastikan keselamatan mereka ketika datang ke pusat, orang masih takut untuk pergi ke hospital bagi menderma darah seperti yang biasa mereka lakukan,“ kata Oumar Kane, pekerja CNTS.

Di pinggir bandar, pasukan CNTS bekerjasama dengan anak muda tempatan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) kecil untuk menyediakan barang yang sangat diperlukan dan merekrut penderma.

“Telah dijumpai bahawa di beberapa hospital besar, terjadinya kekurangan darah. Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk mengatur hari untuk menolong orang ramai,” kata Alpha Ba, seorang pelajar kejuruteraan berusia 25 tahun.

Alpha Ba menubuhkan persatuan tempatan yang kerap melakukan kerja sosial di sekitar Pikine dan pinggir bandar lain. “Kami hanya mahu menolong komuniti kami dan melakukan kerja sosial,” katanya.

“Menderma darah dapat menyelamatkan nyawa, itu adalah tindakan yang sangat mulia. Sekiranya saya dapat melakukannya setiap tiga atau enam bulan, saya akan melakukannya. Saya juga merupakan seseorang yang mungkin diperlukan pada masa akan datang, itulah sebabnya saya melakukannya,” tambah Ba. – Xinhua