COVID-19 cetus krisis kesihatan mental global – PBB

GENEVA, 14 MEI – Penularan COVID-19 berisiko mencetuskan krisis kesihatan mental global, sekali gus tindakan segera perlu diambil bagi menangani penderitaan psikologi yang ditimbulkan oleh pandemik itu, gesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sementara perlindungan kesihatan fizikal menjadi tumpuan utama ketika ini, PBB juga memberi amaran bahawa wabak COVID-19 juga menyebabkan tekanan mental membabitkan sejumlah besar populasi penduduk dunia.

“Selepas berpuluh-puluh tahun pengabaian dan kekurangan pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan mental, pandemik COVID-19 kini menjejaskan keluarga dan masyarakat dengan tekanan mental tambahan,” Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran dalam satu pesanan video ketika melancarkan taklimat.

“Walaupun pandemik itu dapat dikawal, kesedihan, kegelisahan dan kemurungan akan terus mempengaruhi orang ramai dan masyarakat,” katanya.

Taklimat PBB itu menekankan mengenai tekanan mental terhadap orang yang takut mereka atau orang tersayang akan dijangkiti atau mati akibat COVID-19, yang mengorbankan hampir 300,000 orang di seluruh dunia sejak pertama kali muncul di China akhir tahun lalu.

Ia juga memberi kesan psikologi ke atas sebilangan besar orang yang kehilangan atau berisiko kehilangan mata pencarian, terpisah daripada orang tersayang atau menderita di bawah perintah sekatan pergerakan yang drastik.

“Kita tahu bahawa situasi semasa, ketakutan dan ketidakpastian, kemelut ekonomi – semuanya menyebabkan atau boleh menyebabkan tekanan psikologi,” kata Devora Kestel, Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada taklimat maya. – AFP