COVID-19: Ciptaan inovatif atasi kekurangan

BRUSSELS, 29 MAC – Kakitangan perubatan di Eropah muncul dengan pelbagai idea untuk menangani krisis COVID-19, terutamanya dalam kekurangan alat bantuan pernafasan dan lain-lainnya.

Salah satu idea inovatif yang bermula di Itali, negara Eropah paling teruk terjejas pandemik koronavirus adalah menggunakan topeng snorkel (topeng menyelam) dari kedai peralatan sukan untuk menghalang kegagalan fungsi paru-paru.

Hospital-hospital negara lain kemudiannya mengambil contoh idea tersebut dan menambah baik peralatan perubatan untuk menjayakannya. Salah sebuah hospital yang mengaplikasi inovasi kreatif tersebut ialah Hospital Erasme di pinggir ibu negara Belgium, di Brussels yang bersekutu dengan Universiti Libre de Bruxelles dengan kerjasama syarikat Endo Tools Therapeutics bagi penghasilan produk menggunakan per-cetakan 3D untuk kegunaan perubatan.

Menurut Ahli Fisioterapi Pernafasan di hospital yang juga tenaga pengajar di universiti, Frederic Bonnier, ia digunakan untuk pesakit yang mengalami masalah pernafasan akut.

“Matlamatnya adalah untuk mengelakkan daripada memasukkan tiub ke dalam trakea pesakit dan meletakkannya pada respirator (alat bantuan pernafasan).

Petugas perubatan menguji topeng snorkel Decathlon dengan injap respiratori di Hospital Erasme, Brussels bagi mengatasi kekurangan peralatan bantuan pernafasan di negara-negara Eropah yang terjejas COVID-19. -AFP

Dia menerajui rekaan bentuk injap buatan khas yang sepadan dengan bahagian atas topeng muka penuh, di mana peralatan snorkel ditempatkan, seterusnya membolehkan ia disambung kepada mesin BiPAP (tekanan udara positif dua fungsi) standard yang mengalirkan udara bertekanan ke dalam topeng. Ini membantu mencegah alveoli gagal berfungsi, iaitu kantung udara paru-paru yang menyedut oksigen ke dalam badan dan menghembuskan karbon dioksida. Pneumonia yang dibawa oleh COVID-19 menyebabkan keradangan paru-paru dan kantung dipenuhi cecair.

Bagi kes jangkitan yang teruk, pesakit perlu dihubungkan dengan alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi, bagaimanapun hospital mengalami kekurangan peralatan kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Oleh itu, topeng snorkeling boleh menjadi langkah penyelesaian bagi pesakit yang dirawat di ICU yang kekurangan katil atau alat bantuan pernafasan. Topeng muka hospital untuk mesin BiPAP yang kurang intensif turut mengalami kekurangan.

Bonnier berkata beliau akan mula menguji 50 topeng pada pesakit bermula esok.

Ia adalah jenama sama yang digunakan oleh doktor Itali, yang disumbangkan peruncit sukan Perancis, Decathlon. Topeng itu sendiri dibuat di Itali.

Bonnier menjelaskan, ia jauh lebih selesa daripada topeng hospital yang muat-muat dengan hidung dan mulut serta mencengkam ke dalam kulit.

Bagaimanapun, beliau memberikan memberi amaran bahawa ia tidak diuji untuk perubatan standard, bermakna hanya boleh digunakan sekali dan tidak boleh disteril bagi kegunaan pesakit lain.

Reka bentuk Itali untuk injap 3D yang dicetak juga perlu direka semula.

“Ia agak rumit untuk dibuat, agak berat dan tidak begitu selesa, jadi kami mempunyai idea untuk mengubah sedikit lagi dengan mencari idea dan membangunkan bahagian sambungan sendiri,” katanya.

Penyambung injap plastik baru kini sudah dicetak 3D dan siap untuk diuji. – AFP