COVID-19: DFB berdepan muflis

BERLIN, 26 MEI – Krisis COVID-19 ‘berpotensi mengancam’ kewujudan Persatuan Bola sepak Jerman (DFB), jelas bendahari badan induk berkenaan, Stephan Osnabruegge kelmarin.

“DFB berdepan dengan krisis ekonomi meruncing sejak kebelakangan ini,” kata Osnabruegge dalam mesyuarat luar biasa DFB secara virtual.

Beliau berkata, ‘pemotongan jangka panjang’ harus dilakukan untuk mengelakkan senario terburuk, menyaksikan DFB menerima 96.5 juta euro lebih rendah daripada yang direncanakan tahun ini, iaitu mengakibatkan kerugian 77 juta euro. Bagaimanapun, 13.8 juta euro daripada jumlah berkenaan akan dilindungi melalui simpanan badan induk berkenaan.

DFB masih lagi boleh mengelak daripada berlakunya muflis berdasarkan modal ekuiti yang dimiliki mereka.

Badan induk itu berhasrat untuk tidak memberhentikan pekerja tapi beberapa kakita-ngan sudah dikurangkan waktu bertugas sejak 1 Mei lalu.

Perancangan untuk menaikkan gaji juga ditangguhkan dan pengurusan DFB bersetuju mengurangkan jumlah pendapatan di antara 10 hingga 30 peratus.

Berdasarkan angka tahun lalu, DFB mempunyai 7.1 juta ahli, dengan 149,735 adalah pemain yang berdaftar bersama 24,544 kelab.

Mereka juga adalah badan sukan terbesar di Jerman.

Ketika saingan bola sepak profesional, Bundesliga dibenarkan beraksi 10 hari lalu, aksi liga peringkat bawahan masih lagi ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan COVID-19. – AFP

DFB berdepan dengan kebankrapan dengan krisis ekonominya semakin meruncing sejak kebelakangan ini. – AFP