COVID-19 di Indonesia hampir 1 juta

JAKARTA, 25 JAN – Jangkitan COVID-19 di Indonesia menghampiri angka sejuta kes, selepas merekodkan 9,994 lagi kes baharu, dalam tempoh 24 jam.

Kes positif keseluruhan di republik itu kini 999,256 kes, namun 809,488 pesakit yang dijangkiti virus itu dinyatakan telah sembuh.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, kes keseluruhan kematian akibat virus itu kini 28,132 orang, dengan tambahan 297 lagi kematian dalam 24 jam.

Provinsi Jakarta kekal provinsi tertinggi jangkitan virus itu iaitu 252,266 kes, manakala provinsi Jawa Timur menjadi provinsi paling tinggi kes kematian keseluruhan, iaitu 7,440 orang. – Bernama

Seorang pekerja menghalusi pembuatan keranda di sebuah bengkel di Surabaya pada 25 Januari, ketika angka kematian COVID-19 Indonesia melebihi 28,000 orang. – AFP