COVID-19 di S’pura, M’sia dan Indonesia

SINGAPURA, 15 JUN – Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 214 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjangkau 40,818 kes.

Terdapat hanya tiga kes dalam komuniti dan sebahagian besarnya melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan di sini. Manakala Malaysia mencatatkan sebanyak 41 kes baharu, dengan 38 kes penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 38 kes penularan dalam negara itu, seramai 32 orang merupakan bukan warganegara manakala selebihnya dalam kalangan warga Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu sebanyak 8,494 kes,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini. Dalam pada itu, kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat melepasi angka 39,000 dengan jumlah kematian sebanyak 2,198 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 1,017 tambahan kes positif baharu di seluruh Indonesia dengan 64 lagi kematian berlaku.

“Kes positif kini berjumlah 39,294 manakala sebanyak 13,649 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya. – Bernama