COVID-19 dijangka jejas teruk ekonomi asia pasifik

KUALA LUMPUR, 6 MAC – Penularan COVID-19 yang lebih luas dan berpanjangan di peringkat global akan menyebabkan kelembapan ekonomi di rantau Asia Pasifik, menurut S&P Global Ratings.

Dalam nota ekonominya hari ini, ia menjangkakan pertumbuhan kira-kira 4 peratus pada 2020 dan kerugian pendapatan kira-kira AS$211 bilion akibat jangkitan itu, membabitkan isi rumah, syarikat, bank dan kerajaan.

“Pemulihan ekonomi secara berperingkat ini akan teranjak kemudian bagi 2020 berikutan ekonomi China yang terjejas pada suku pertama, penularan viral itu ke luar China, dan situasi kewangan yang mengalami kekangan.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan China sebanyak 4.8 peratus pada 2020 dengan aliran penurunan yang munasabah di bawah 3 peratus. Negara lain seperti Australia, Jepun dan Korea kemungkinan cenderung kepada kemelesetan berikutan pertumbuhan yang menyusut di bawah paras trend itu.

S&P menjangkakan risiko cenderung mencatat penurunan dan tempohnya adalah jauh lebih utama daripada impak awal susulan risiko tidak sejajar daripada penularan virus serta kekangan kewangan yang dihadapi pasaran pesat membangun.

“Unjuran bagi Asia Pasifik semakin kelam ekoran penularan COVID-19 di peringkat global. Ini akan menyebabkan kejutan ke atas penawaran dan permintaan di Jepun dan Korea. “Kami juga mengunjurkan suku pertama yang lebih sukar daripada yang dijangka bagi China.Pertimbangan yang muktamad adalah dengan mengetatkan kedudukan kewangan global yang akan meningkatkan lagi kejutan kepada ekonomi. Kami mengambil kira pelonggaran dasar monetari, namun, ia hanya memangkin kepada kesan itu,” katanya.

Ketika bahagian lain di Asia Pasifik dan China mungkin menghampiri kemelesetan ekonomi paling tinggi, ekonomi paling terjejas teruk ialah Hong Kong, Singapura, Thailand dan Vietnam memandangkan aliran penduduknya yang lebih besar.

“Bagi kesemua negara ini, pelancongan menyumbang kadar yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu pada purata kira-kira 10 peratus, manakala pelancong dari China mencatat jumlah pelancong yang ramai.

“Rantaian penawaran yang terdedah kepada industri elektronik dan auto juga adalah tinggi. Maka, adalah tidak mengejutkan sekiranya kita melihat maklum balas dasar fiskal yang paling kukuh, khususnya pemindahan dan subsidi kepada isi rumah dan sektor-sektor yang terjejas.

“Pendekatan ini dijangka menjadi pemangkin kepada kesan itu, namun, ia mungkin kurang berkesan daripada yang lazimnya dan tidak akan terhindar daripada kemelesetan,” katanya. – Bernama