Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Doakan kesembuhan pesakit

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta mengeluarkan ugutan atau ancaman terhadap sesiapa yang disyaki dijangkiti COVID-19, termasuk ahli keluarga mereka.

    “Sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya yang beragama Islam seharusnya mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan orang-orang yang dijangkiti COVID-19 dan supaya Negara Brunei Darussalam dilindungi daripada segala bencana dan wabak penyakit.”

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyatakan perkara itu, semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Sebagai langkah pencegahan, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan menjaga etika batuk dan bersin. Bagi orang-orang yang beragama Islam adalah disarankan untuk sentiasa berwuduk kerana rukun-rukun wuduk adalah selari dengan nasihat-nasihat menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan, mencuci hidung dan mulut dan anggota tubuh badan lainnya.

    Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas jika bertambahnya kes berikutan daripada penyiasatan-penyiasatan kontak yang dijalankan. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang menunjukkan terdapat penularan jangkitan di kalangan masyarakat berleluasa pada masa ini dan keadaan adalah terkawal.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk tidak panik dan mudah percaya kepada berita-berita yang tidak sahih yang di-sebarkan melalui media sosial. Mereka diseru untuk mendapatkan maklumat yang sahih yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kesihatan dan media yang boleh dipercayai serta tidak menularkan berita-berita yang tidak sahih yang boleh menyebabkan orang ramai merasa panik serta tidak perlu untuk membuat pembelian panik.

    Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa kementeriannya akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perkembangan terkini mengenainya.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan dari pergi ke luar negara jika tidak ada keperluan dan hendaklah memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas.

    “Sebagaimana hadith Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya. Oleh yang demikian, kita hendaklah bersatu dalam solidariti bagi menangani wabak COVID-19 ini dan bukannya mendiskriminasikan mana-mana pihak. Insya-Allah, dengan doa dan tawakal kepada Allah, kita akan berjaya mengawal penularan wabak ini. Aamiin.”

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan, 2381380 atau 2381383 (pada waktu pejabat sahaja) atau Talian Darussalam 123 (di luar waktu pejabat).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda