COVID-19: Dua kes dijangkiti kali ke-2

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali menerima kes bekas pesakit COVID-19, dijangkiti buat kali kedua seperti yang berlaku di negara luar.

Semasa gelombang kedua COVID-19 di negara ini, setakat ini ada dua orang telah dijangkiti buat kali kedua dan kedua-dua mereka sembuh daripada virus berkenaan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu semasa menjawab pertanyaan mengenainya semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan lanjut, semasa gelombang pertama, mereka telah dijangkiti COVID-19 yang mana kedua-dua mereka belum mendapatkan vaksin.

Manakala itu, pada penularan kedua, mereka dijangkiti buat kali kedua di mana salah seorang daripada mereka telah mengalami gejala yang berkurangan berbanding jangkitan sebelumnya.

“Pada masa ini negara berhadapan dengan varian Delta dan ia tidak semestinya imun dan amat penting bagi mereka yang pernah dijangkiti untuk menerima vaksin bagi mengurangkan risiko gejala apabila penularan berlaku lagi,” ujar beliau.