COVID-19: Dua lagi pesakit meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Dua lagi kes yang disahkan positif COVID-19 telah kembali ke rahmatullah, hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata kes pertama merupakan seorang lelaki berumur 30 tahun yang merupakan Kes 2462 yang telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.

“Manakala, kes kedua ialah seorang perempuan berumur 54 tahun yang merupakan Kes 4052. Kes ini telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes tersebut, beliau tidak mengongsikan butiran peribadi kes-kes tersebut.

Yang Berhormat Dato juga memohon kepada orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah.”