Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    COVID-19: Dua pertiga jangkitan di Sandakan kategori 1 dan 2

    SANDAKAN, 6 FEB – Dua pertiga daripada jumlah kes aktif COVID-19 di Sandakan adalah pesakit kategori satu dan dua meskipun daerah ini mencatatkan kes baharu harian tertinggi di Sabah sejak beberapa hari ini.

    Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Dr Francis Paul berkata kebanyakan pesakit menjalani kuarantin di rumah terutama pesakit kategori satu yang tidak mengalami sebarang gejala dan kategori dua yang bergejala tetapi tidak menghidap penyakit kronik.

    “Kita bersyukur yang dijangkiti ini kebanyakannya telah divaksin, jadi keadaan mereka tidak begitu serius.

    “Diharapkan (mereka) yang dijangkiti kekal di peringkat satu dan dua sahaja kerana keadaan ini tidaklah akan membebankan pihak hospital dan penjaga kesihatan yang juga berisiko untuk dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sandakan di sini hari ini.

    Sandakan mencatatkan kes baharu harian tertinggi di Sabah selama tiga hari berturut-turut dengan 1,100 kes aktif direkodkan hingga semalam.

    Berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sandakan, Dr Francis berkata pihaknya menyediakan 211 katil dengan 71 katil diletakkan di HDOK, PKRC Dewan Rafflesia Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sandakan (40) manakala PKRC Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sandakan (100). – Bernama

    Dua pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Sandakan melihat keadaan luar dari pintu dewan PKRC yang diaktifkan semula berikutan peningkatan jumlah kes, semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...