COVID-19: Enam kes positif baharu, 5 penularan tempatan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Enam kes positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan lima melibatkan penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu hingga 12 tengah hari itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak tersebut di negara ini sebanyak 9,291 kes, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 188 kes.

Menurutnya, lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia di Kedah iaitu tiga kes daripada Kluster Tawar manakala masing-masing satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan kes saringan bergejala, kedua-duanya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Singapura yang melibatkan bukan warganegara. Kes import ini dilaporkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata terdapat tujuh kes yang telah pulih COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada pandemik itu sebanyak 8,978 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama