COVID-19: India muncul negara ketiga terjejas teruk

NEW DELHI, 6 JULAI – Bandar-bandar di India yang mempunyai ramai penduduk telah mengarahkan sekatan baharu setelah merekodkan kes jangkitan baharu COVID-19 hampir mencecah 700,000 mengatasi Rusia, dengan jumlah jangkitan ketiga tertinggi.

Lebih 697,400 kes telah direkodkan, peningkatan 24,000 dalam tempoh 24 jam, kata Kementerian Kesihatan, sementara Rusia mencecah 681,000.

Pertambahan itu telah memaksa beberapa buah bandar memperketatkan langkah anti-virus mereka – termasuk Kolkata, yang membatalkan penerbangan dari bandar-bandar utama India hari ini, selain menubuhkan puluhan zon bendungan.

Sekatan pergerakan baharu itu telah dikenakan di bandar negeri Kerala, Thiruvananthapuram, dengan pengangkutan awam ditutup dan hanya farmasi dibenarkan untuk dibuka.

Sementara Amerika Syarikat dan Brazil mempunyai jumlah kes tertinggi di seluruh dunia, jumlah India dijangka akan kekal mening-kat untuk beberapa minggu ini. Pakar meramalkan terdapat satu juta kes menjelang hujung Julai.

Berikutan peningkatan itu, New Delhi membuka sebuah kemudahan khas merawat pesakit yang dilengkapi 10,000 katil.

Selain itu, pihak berkuasa ubat-ubatan India turut meluluskan dua ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dilaksanakan syarikat tempatan. – AFP/Bernama

Para pesakit berbaring di atas katil yang diperbuat daripada kadbod dalam sebuah dewan yang dijadikan pusat penjagaan koronavirus di New Delhi pada 6 Julai. – AFP