COVID-19 Indonesia lebih teruk daripada laporan

JAKARTA, 27 MAC – Krisis koronavirus Indonesia adalah lebih teruk berbanding yang dilaporkan secara rasmi dan respons kerajaan pula ‘kucar-kacir’, amaran persatuan doktor negara itu hari ini ketika angka kematian mencecah 87 orang.

Negara keempat paling padat di dunia itu hanya melaporkan pengesahan jangkitan pertamanya bulan ini, namun jumlahnya sudah pun mencecah lebih 1,000 orang hari ini.

Pengesahan kematian 87 orang akibat koronavirus itu di Indonesia merupakan jumlah tertinggi di negara Asia Tenggara, dengan pegawai kesihatan awam dan diplomatik memberi amaran bahawa sistem kesihatan lemah negara itu akan segera dibanjiri pesakit nanti.

“Pelan kerajaan kucar-kacir dan mereka kelihatan cuba mengelak ‘lockdown’,” kata jurucakap Persatuan Doktor-doktor Indonesia, Halik Malik.

“Sistem kesihatan kita tidak sekukuh negara lain,” tambahnya.

Rakyat Indonesia semasa menunaikan sembahyang Jumaat dengan melakukan jarak sosial di sebuah masjid di Surabaya, Timur Jawa, 27 Mac. Persatuan Doktor-doktor Indonesia kelmarin memberi amaran krisis virus Indonesia akan semakin memburuk kerana respons kerajaan yang agak kucar-kacir dan sistem kesihatannya yang agak lemah. – AFP

Kajian Sekolah Higin dan Ubatan Tropika London memberi amaran minggu ini bahawa kes-kes di Indonesia – dengan populasi lebih daripada 260 juta orang – mungkin tidak dilaporkan secara meluas.

Pasukan khas menangani virus kerajaan menganggarkan sehingga 700,000 orang berisiko dijangkiti di seluruh negara. Namun kadar ujian adalah terlalu rendah berbanding negara-negara lain—hanya 2,300 dijalankan sebelum kerajaan mengumumkan menghentikan sejumlah ujian.

Pihak berkuasa dikecam secara meluas kerana tidak melaksanakan lockdown di bandar-bandar utama termasuk ibu negara Jakarta, sebuah bandar raya besar dengan populasi kira-kira 30 juta orang di mana kebanyakan kematian COVID-19 dilaporkan.

“Situasi COVID-19 di Indonesia amat serius dan semakin cepat memburuk,” kedutaan Kanada di Jakarta mengatakan hari ini, menjelaskan bahawa ia segera menasihatkan warganya untuk meninggalkan negara itu.

“Sistem penjagaan kesihatan Indonesia tidak lama lagi akan sesak. Jumlah kematian pastinya akan tinggi.”

Indonesia mempunya kurang daripada empat doktor untuk setiap 10,000 orang, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam 2017.

Secara perbandingan, negara jiran Malaysia mempunyai kira-kira 15 doktor dan Australia 35 doktor bagi setiap 10,000 orang. – AFP