COVID-19: Indonesia lepasi angka 11,000

JAKARTA, 3 MEI – Sebanyak 14 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 845 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata kes positif virus itu juga meningkat kepada 11,192 kes iaitu tambahan 349 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

“Ketika ini, sebanyak 23,130 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 398 kes, diikuti Jawa Timur (111), Jawa Tengah (85) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Jakarta akan terus mengehadkan jumlah orang yang memasuki ibu negara itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk mengekang penularan wabak COVID-19 berikutan larangan mudik (pulang kampung besar-besaran menyambut Aidilfitri) oleh kerajaan.

Gabenor Anies Baswedan berkata, kerajaan sedang menyiapkan peraturan untuk mengehadkan jumlah orang yang memasuki ibu negara itu yang juga pusat COVID-19 negara itu, selepas sambutan Aidilfitri yang bermula 23 Mei ini.

“Penduduk Jakarta disaran tidak meninggalkan kota untuk kembali ke kampung halaman mereka, seperti yang didesak oleh Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.– Bernama