COVID-19: Iran lahir kekesalan

TEHRAN, 2 JUN – Iran hari ini melahirkan rasa kekesalan terhadap sikap sebilangan penduduk yang mengabaikan peraturan penjarakan sosial selepas negara itu kembali mencatatkan lebih 3,000 kes jangkitan baharu COVID-19 dalam gelombang kedua.

“Fakta menunjukkan sebilangan penduduk tidak betul-betul mematuhi peraturan sehingga berlakunya jangkitan gelombang baharu,” kata Menteri Kesihatan Saeed Namaki.

“Mereka sama ada mempunyai kepercayaan penuh terhadap kerajaan atau menganggap koronavirus telah hilang. Yang kedua ini sama sekali tidak benar,” menurut agensi berita ISNA memetik Saeed Namaki sebagai berkata.

Ulasannya muncul ketika jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour mengatakan 3,117 kes baharu disahkan di Iran dalam 24 jam lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara itu kepada 157,562, tambahnya.

Beberapa orang warga Iran ketika membeli-belah di ibu negara Tehran, kelmarin. Iran melahirkan rasa kekesalan terhadap sikap sebilangan penduduk yang mengabaikan peraturan penjarakan sosial selepas negara itu kembali mencatatkan jangkitan baharu lebih 3,000 orang dalam jangkitan gelombang kedua. – AFP

Jangkitan semakin meningkat di republik Islam itu sejak mencapai paras terendah hampir dua bulan pada 2 Mei.

Jangkitan di negara itu berada pada tahap tertinggi pada 30 Mac selepas mencatatkan 3,186 jangkitan.

Jahanpour berkata virus itu telah meragut 64 nyawa dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 7,942 orang.

Bilangan jangkitan baharu itu hampir dengan jumlah harian tertinggi bagi wabak COVID-19 yang banyak meragut nyawa di Timur Tengah.

Kerajaan negara itu sebahagian besarnya telah melonggarkan sekatan yang dikenakan untuk membendung wabak yang pertama kali muncul pada pertengahan Februari. Pakar-pakar di dalam dan luar negara telah menyuarakan keraguan mengenai angka rasmi Iran, mengatakan jumlah korban yang sebenarnya adalah lebih tinggi. – AFP