COVID-19: Jangan pandang negatif pesakit sembuh

PUTRAJAYA, 3 APRIL – Sebanyak 217 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia 3,333 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada kes baharu itu, 58 kes berkaitan kluster perhimpunan Seri Petaling.
Jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu juga meningkat kepada 53 kes berikutan penambahan tiga lagi kes kematian, hari ini.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 108 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 kes daripada jumlah itu, memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, sebanyak 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 41 daripadanya adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor.

Untuk rekod, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM merupakan antara 40 hospital yang diwartakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Mengulas mengenai perkembangan positif jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham menyeru agar masyarakat mengelak dari mewujudkan persepsi negatif terhadap pesakit yang sembuh, sebaliknya memberikan sokongan moral kepada mereka.

“Mengambil iltizam dan semangat juang yang ditunjukkan mereka dalam proses untuk sembuh, KKM berharap ini akan memberi harapan kepada pesakit lain serta masyarakat untuk kekal optimis dalam negara menghadapi pandemik COVID-19,” katanya. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Bernama