COVID-19 jangkiti hampir 480,000 kanak-kanak di AS

WASHINGTON, 2 SEPT – Hampir 480,000 kes COVID-19 melibatkan kanak-kanak dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) sejak wabak itu mula menular, menurut laporan terkini Akademi Pediatrik dan Persatuan Hospital Kanak-kanak Amerika, lapor agensi berita Xinhua.

Biarpun kanak-kanak hanya mewakili 9.5 peratus daripada semua kes yang dilaporkan di negara berkenaan, sejumlah 476,439 kanak-kanak diuji positif COVID-19, memetik laporan yang diterbitkan pada Isnin itu.

Kadar keseluruhan ialah 631 kes untuk setiap 100,000 kanak-kanak.

Sebanyak 70,330 kes baharu membabitkan kanak-kanak dilaporkan dari 13 hingga 27 Ogos, peningkatan 17 peratus untuk tempoh dua minggu.

Antara 0.6 hingga 4.1 peratus kanak dimasukkan ke hospital dan 0 hingga 0.3 peratus daripada jumlah semua kematian akibat COVID-19.

“Buat masa sekarang nampaknya penyakit yang disebabkan COVID-19 jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, laporan terperinci mengenai kes COVID-19 perlu terus dibuat untuk membolehkan jangkitan membabitkan kanak-kanak dapat dipantau,” kata laporan itu. – Bernama

Hampir 480,000 kes COVID-19 melibatkan kanak-kanak dilaporkan di Amerika Syarikat sejak wabak itu mula menular. – AP