COVID-19 jangkiti lebih 1,000 tentera di Indonesia

BANDUNG, INDONESIA, 12 JULAI – Hampir 1,300 orang di sebuah akademi ketenteraan di Indonesia telah diuji positif koronavirus, kata seorang pegawai, ketika negara itu terus berjuang memerangi penularan wabak tersebut.

Sekolah ketenteraan bagi kadet pegawai tentera Indonesia di barat Jawa yang memiliki penduduk paling ramai di negara itu telah dikuarantin dan 30 orang pada mulanya dirawat di hospital dengan gejala ringan, kata ketua staf tentera, Jeneral Andika Perkasa pada malam kelmarin.

Dari 1,280 jangkitan yang disahkan, 991 terdiri daripada kadet dan selebihnya merupakan kakitangan dan ahli keluarga mereka, katanya. Sebilangan besar tidak mempunyai gejala.

Sementara itu seramai 17 orang masih berada di hospital kelmarin.

Wabak pertama kali dikesan ketika dua kadet pergi ke kemudahan perubatan setelah mengadu demam dan sakit belakang.

Kedua-duanya diuji positif untuk COVID-19, mendorong kepada ujian pengambilan sampel kepada anggota dan kadet di akademi yang mempunyai 2,000 kakitangan dan kadet.

Tidak jelas bagaimana kadet itu dijangkiti, kata Perkasa, tetapi beberapa kakitangan tinggal di luar kompleks tentera.

Gabenor Jawa Barat memohon maaf berikutan dengan penularan wabak tersebut dan mendesak penduduk untuk membatasi pergerakan mereka masuk dan keluar dari kawasan kejiranan di mana akademi itu terletak sehingga ia dapat dikawal. – AFP

Gambar pada 9 Julai 2020 menunjukkan pintu utama Sekolah Kadet Pegawai Angkatan Darat Indonesia di Bandung yang ditutup, selepas lebih dari 1,200 warganya diuji positif koronavirus. – AFP