Tuesday, March 21, 2023
21.2 C
Brunei

-

COVID-19 jejas pekerjaan di India

NEW DELHI – Selama sekatan pergerakan yang dijalankan untuk menangani penularan wabak COVID-19, yang bermula pada 25 Mac lalu, India menyaksikan perpindahan besar-besaran pekerja dari bandar-bandar besar, termasuk empat kota metropolitan, Delhi, Mumbai, Chennai dan Kolkata, selain kota-kota lain yang balik ke tempat asalnya.

Pekerja-pekerja ini sebahagian besarnya adalah dari tujuh negeri di Bihar, Jharkhand, Madhya Pradesh, Rajasthan, Uttar Pradesh, Benggala Barat dan Odisha.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh binaan, yang lain terlibat dalam aktiviti pertanian atau bergantung kepada kemahiran mereka dan bekerja sebagai tukang paip, tukang kebun, juru elektrik, pemandu, atau tukang masak di rumah-rumah atau restoran-restoran.

Setelah Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung pada malam 24 Mac lalu, lebih daripada 90 peratus yang panik memutuskan untuk berpindah ke kampung mereka yang terletak di daerah terpencil.

Tanpa pengangkutan yang tersedia, mereka berjalan sejauh 1,500km, untuk akhirnya sampai ke destinasi masing-masing. Namun, ada di antara mereka yang memutuskan untuk tetap tinggal di tempat kerja mereka. Mereka mendapat pekerjaan sementara yang mudah untuk meraih sejumlah wang walaupun bandar-bandar besar menghadapi kekurangan tenaga kerja yang teruk dalam tempoh perintah berkurung itu.

Gambar fail 29 Mac, menunjukkan para pekerja pendatang berjalan kaki untuk balik ke kampung masing-masing ketika perintah berkurung di New Delhi, India. – Xinhua
Manoj Raikwar bersama isterinya, Mamta berada di rumah mereka di Gurugram, sebuah bandar satelit di bahagian utara Haryana, India. – Xinhua

Manoj Raikwar, 28, seorang pekerja dari daerah Teekamgarh di bagian tengah Madhya Pradesh, adalah seorang pekerja binaan di Gurugram, sebuah bandar satelit di bahagian utara Haryana, yang bersempadan dengan ibu kota, New Delhi.

Dia tinggal bersama isterinya Mamta, 27, di sebuah kawasan setinggan kecil berdekatan kampung Wazirabad di Sektor 52 Gurugram. Tinggal di kawasan setinggan bersama dengan isterinya, dia berkongsi pengalamannya semasa sekatan COVID-19 kepada media.

“Ketika berlakunya ketidakpastian setelah malam 24 Mac, kami juga merasa panik. Kemudian kami tinggal di sini bersama empat orang anak kami. Semua aktiviti pembinaan telah berhenti dan kami menganggur. Tidak dapat membuat keputusan, kami menunggu dan melihat sahaja perkembangan situasi semasa.

“Setelah beberapa hari, penduduk kampung berhampiran mula menyediakan makanan asasi kepada orang miskin seperti kami. Dan, segera, lebih banyak bantuan mula dicurahkan, termasuk makanan yang dimasak,” katanya kepada media.

Dia menyatakan bahawa walaupun dia kehilangan pekerjaan tetap di tapak pembinaan berhampiran, dia segera mendapat pekerjaan sambilan sebagai pengawas di rumah binaan berdekatan yang menawarkan kemudahan penginapan dan asrama.

“Setelah hampir seminggu sejak pengumuman perintah penutupan, dengan rahmat Tuhan, saya mula bekerja semula dan memperoleh pekerjaan yang sangat baik. Saya bertugas sebagai penjaga rumah berhampiran. Berdepan ketidakpastian yang tinggi, saya dan isteri memutuskan untuk menghantar empat orang anak kami ke tempat asal kami supaya mereka selamat bersama ibu bapa saya,“ katanya.

Semasa memasak makanan malam, isterinya Mamta mengatakan bahawa mereka menerima cukup bahan makanan, baik bahan mentah mahu pun yang dimasak, daripada penduduk kampung yang berdekatan dan juga dari kerajaan negeri.

“Ini adalah masa yang sukar bagi semua orang, dan bagi kami juga, kerana tidak ada di antara kami yang pernah melihat situasi seperti ini dalam hidup kami. Kami berjaya menghantar anak-anak kami ke kampung kami dan memutuskan untuk menghabiskan masa di sini hanya kerana suami saya mendapat pekerjaan sementara baharu sebagai penjaga. Pada masa yang sama, kami juga mendapat makanan percuma,” katanya.

Menurut Mamta, sangat sedikit pekerja yang memutuskan untuk kembali. Mungkin ada yang tidak mendapat pengangkutan yang betul untuk kembali ke tempat asal kerana kereta api, bas dan semua pengangkutan lain dihentikan.

“Sekarang, anak-anak kami terus tinggal di kampung bersama nenek mereka. Ketika aktiviti pembinaan bermula di sini sekali lagi, kami mendapat pekerjaan tetap dan kami berdua bekerja seharian di tapak pembinaan berhampiran untuk mencari nafkah. Walaupun kehidupan peribadi kembali normal, ada kalanya kami merindui anak-anak,“ tambah Mamta.

Subhash Yadav, seorang penduduk di perkampungan Wazirabad, mengatakan bahawa dia telah menyewa hampir 20 rumah untuk keluarga pekerja. Sejurus selepas perintah berkurung, kebanyakan mereka mula pulang ke tempat asal masing-masing.

Hanya satu atau dua keluarga yang memutuskan untuk tinggal di sini.

“Mereka yang pergi belum kembali. Kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan paket makanan kering kepada mereka yang berada di sini bahkan tidak mengambil bayaran sewa selama tiga bulan,” katanya sambil menambah, “Saya juga telah menyewa 10 buah kedai kepada beberapa orang yang melakukan kerja kecil seperti tukang gunting rambut, tukang kayu, menjual barangan runcit atau sayur-sayuran serta buah-buahan dan lain-lain. Tetapi mereka juga menutup kedai dan kembali ke kampung mereka. Mereka belum kembali,“ kata Yadav. – Xinhua

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kishida umum rancangan Indo-Pasifik baharu di India

NEW DELHI, 20 MAC - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini menjemput rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak negara-negara...
- Advertisment -