COVID-19: Jumlah kes cecah 9,000

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Jumlah kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kini melebihi 9,000 dengan 187 kes baharu telah dicatatkan pada hari ini.

Daripada jumlah tersebut, terdapat tambahan 52 kes baharu kepada 21 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Kementerian Kesihatan, hari ini. Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa terdapat lima kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 43 kes.

“Kesemua kluster baharu ini adalah kluster rumah kediaman di mana tiga daripadanya iaitu Kluster HTG Services Sdn Bhd, Kluster LDY Engineering Sdn Bhd dan Kluster Massutera Engineering Sdn Bhd merupakan kluster rumah yang menempatkan para pekerja syarikat-syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, tiga kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari iaitu Kluster Champion 7 – Blue Titanium, Kluster 3412 dan Kluster 3748, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 162 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 92 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Manakala, 190 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 6,880 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,223 kes,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Menurutnya, kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, lapan kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).”
Sementara itu, 31 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,552 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 406,629 ujian.