COVID-19: Kejuaraan pencak silat dunia ditunda

KUANTAN, 8 JUN – Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-20 yang dijadual berlangsung Ogos ini di Kuching, Sarawak ditunda ke tahun hadapan, kata Pemangku Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Beliau berkata penangguhan itu tidak dapat dielakkan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan Malaysia yang masih belum berakhir.

“Delegasi Pesaka akan ke Sawarak dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai tarikh baharu (kejuaraan) selain mendapatkan pandangan pihak berkaitan dalam isu keselamatan dan kesihatan semasa penganjurannya nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata berdasarkan perancangan awal, lebih 1,000 atlet dan pegawai daripada 70 negara akan mengambil bahagian dalam kejuaraan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir Selasa ini.  Bagi tempoh PKPP itu aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan badan tidak dibenarkan. – Bernama