COVID-19: Kematian global lebih 1.4 Juta

PARIS, 27 NOV – Pandemik COVID-19 kini telah membunuh sekurang-kurangnya 1,433,378 orang sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, menurut laporan sumber rasmi yang disusun oleh AFP setakat hari ini.

Ketika ini, lebih kurang 60,970,250 kes koronavirus telah didaftarkan. Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 38,833,400 kini kembali sembuh.

Catatan – menurut data yang dikumpulkan oleh AFP dari pihak berkuasa kebangsaan dan maklumat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya menggambarkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan yang sebenarnya.

Kebanyakan negara hanya menguji kes-kes yang mempunyai simptom atau yang paling serius.

Kelmarin, sebanyak 10,859 kematian baharu dan 561,042 kes baharu dicatatkan di seluruh dunia. Berdasarkan laporan terkini, negara-negara dengan bilangan paling tinggi ialah Amerika Syarikat (AS) dengan 1,333 kematian baharu, diikuti oleh Itali dengan 822 dan Brazil dengan 691.

Gambar fail menunjukkan kakitangan perubatan keluar dari bilik yang dilindungi oleh terpal lutsinar selepas merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19 di unit rawatan intensif hospital Franco-Britannique di utara Paris. – AFP

AS merupakan negara yang paling teruk terjejas dengan 263,462 kematian daripada 12,885,299 kes. Sekurang-kurangnya 4,871,203 orang dilaporkan kembali sembuh.

Selepas AS, negara-negara yang paling teruk dilanda ialah Brazil dengan 171,460 kematian dari 6,204,220 kes, India dengan 135,715 kematian dari 9,309,787 kes, Mexico dengan 104,242 kematian dari 1,078,594 kes, dan United Kingdom dengan 57,031 kematian dari 1,574,562 kes.

Negara dengan jumlah kematian tertinggi dibandingkan dengan penduduknya adalah Belgia dengan 140 kematian per 100,000 penduduk, diikuti Peru dengan 109, Sepanyol 95, Itali 87. China – tidak termasuk Hong Kong dan Macau – setakat ini mencatatkan 86,495 kes, termasuk 4,634 kematian dan 81,558 kembali sembuh.

Amerika Latin dan Caribbean secara keseluruhan mencatatkan 442,196 kematian dari 12,750,062 kes, Eropah 395,552 kematian dari 17,415,864 kes, dan AS serta Kanada 275,235 kematian dari 13,236,105 kes.

Asia telah melaporkan 191,740 kematian dari 12,172,390 kes, Timur Tengah 76,773 kematian dari 3,242,764 kes, Afrika 50,941 kematian dari 2,122,809 kes, dan Oceania 941 kematian dari 30,257 kes. – AFP