COVID-19: Kes baharu di Sarawak menurun

KUCHING, 19 NOV – Jumlah kes baharu COVID-19 di Sarawak turun sedikit hari ini dengan 292 kes dicatatkan, berbanding 311 yang direkodkan semalam, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu.

Angka kes yang melibatkan jangkitan paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau ventilator turut menurun kepada lima berbanding 10 kes semalam dan jumlah ini merupakan yang terendah dilaporkan jawatankuasa itu sejak seminggu lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan JPBN, Kuching kekal sebagai satu-satunya daerah yang mencatatkan jumlah kes sebanyak tiga digit dengan 119, sementara lima daerah lain yang mengalami penambahan kes dua angka pula terdiri daripada Miri (34 kes), Bintulu (29), Sibu (23), Serian (18) dan Limbang (16).

Sebanyak 21 daerah mencatatkan penambahan antara satu dan lapan kes, sementara tiada kes baharu dicatatkan di 13 daerah lagi. 

Kenyataan itu turut menyatakan sebanyak empat kes kematian kerana COVID-19 berlaku pada Rabu lepas melibatkan individu-individu berumur antara 53 dan 91 tahun yang mempunyai sejarah pelbagai penyakit. – Bernama