COVID-19: Kes baharu Malaysia naik dua angka

PUTRAJAYA, 11 JUN – Selepas mencatatkan jumlah kes baharu terendah pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, jumlah kes baharu positif COVID-19 hari ini kembali meningkat kepada dua angka dengan 31 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,369 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,186 kes.

“Daripada 20 kes penularan di dalam negara, 11 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan hanya satu kes adalah kalangan warganegara Malaysia iaitu merupakan kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz,” katanya dalam sidang media perkembangan harian COVID-19 hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, bagi 19 kes dalam kalangan bukan warganegara sebanyak 16 kes Kluster Pedas di Negeri Sembilan manakala Kluster Kampung Sungai Lui, Selangor, Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan satu kes.

Selain itu, beliau memaklumkan satu kes saringan melibatkan pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, sebanyak 51 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj 7,065 kes (84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, lima kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jelasnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 118 kes. – Bernama