COVID-19: Kes di India lepasi sembilan juta

NEW DELHI, 20 NOV – Kes jangkitan koronavirus India melepasi sembilan juta hari ini, tatkala hospital di ibu negara New Delhi menerima tekanan untuk menerima lebih ramai pesakit.

Negara itu kini juga mencatat lebih daripada 132,000 kematian akibat penyakit itu, menurut angka rasmi terbaharu, yang dilihat sebagai tidak memberikan gambaran sebenar mengenai skala jangkitan.

India telah melihat kemerosotan dalam kes harian sejak sebulan lalu tetapi ia masih mencatat kira-kira 45,000 kes baharu secara purata setiap hari.

New Delhi, berdepan pencemaran musim sejuk dan koronavirus, melihat jangkitan meningkat melepasi setengah juta dengan kenaikan tinggi dalam kes harian. Semalam, kerajaan menambah empat kali ganda denda jika tidak memakai penutup mulut dan hidung dalam usaha untuk mengawal wabak tersebut.

Pihak berkuasa di barat bandar Ahmedabad, telah mengenakan perintah berkurung pada hujung minggu.

“Semasa tempoh ini, hanya kedai yang menjual susu dan ubat yang dibenarkan dibuka,” kata pegawai tempatan Rajiv Kumar Gupta.

“Pertambahan dalam jumlah kes menimbulkan kebimbangan, terutamanya disebabkan ia didorong oleh orang yang tidak mematuhi protokol asas dalam pencegahan koronavirus,” kata Anand Krishnan, profesor perubatan komuniti di Institut Sains Perubatan India di Delhi. – AFP

Seorang pekerja kesihatan mengambil sampel untuk menguji COVID-19 di sebuah pasar di New Delhi, India pada 19 November 2020. – AP