COVID-19: Kes jangkitan India hampir atasi Brazil

NEW DELHI, 4 SEPT – Angka kes jangkitan koronavirus di India meningkat sebanyak 80,000 orang lagi dan hampir menyamai jumlah keseluruhan Brazil, yang kedua tertinggi di dunia.

Sebanyak 83,341 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam yang menjadikan angka keseluruhan melepasi 3.9 juta di India, menurut menteri kesihatan.

Menteri kesihatan India hari ini melaporkan 1,096 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban keseluruhan kepada 68,472 orang.

Kadar kes kematian di India 1.75 peratus jauh di bawah purata global 3.3 peratus, kata kementerian. Para pakar telah mempersoalkan sama ada beberapa negeri di India mencatatkan rekod kematian.

India menambah hampir dua juta kes koronavirus pada bulan Ogos sahaja. Pune, Mumbai, New Delhi dan Chennai adalah bandar-bandar yang teruk terjejas, tetapi kawasan baharu jangkitan terus meningkat di kawasan perkampungan di Uttar Pradesh, Bihar dan wilayah lain.

Dalam negara yang mempunyai penduduk seramai 1.4 bilion orang, hanya tempat-tempat yang teruk terjejas oleh virus sahaja yang masih dikenakan perintah berkurung. Orang ramai masih membanjiri pasar-pasar dan tempat-tempat awam dengan langkah keselamatan seperti memakai penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial masih belum berkuat kuasa sepenuhnya.

Melonggarkan sekatan perintah berkurung semasa jangkitan melonjak, Setiausaha Kesihatan, Rajesh Bhushan mengatakan bahawa keupayaan ujian telah ditingkatkan dan prosedur keselamatan telah dilaksanakan.

“Selain mementingkan nyawa, kehidupan turut perlu diteruskan,” kata Bhushan.

Ekonomi India susut 23.9 peratus dalam suku bulan April hingga Jun, prestasi terburuk mereka dalam tempoh 24 tahun. – AP