COVID-19: Kes keseluruhan hampir 3,000 orang

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Sebanyak 102 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 2,960 orang.

Selain itu, terdapat satu kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 49 kluster.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Kluster-kluster baharu ini ialah Kluster 2089 yang mengandungi 36 kes yang mana kluster baharu ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya lagi, terdapat 30 tambahan kes-kes baharu kepada tujuh kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif itu adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di negara ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Sementara itu, 65 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan.

“Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu ini masih giat dijalankan.

Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam pada itu, beliau mengongsikan bahawa 91 kes telah disahkan sembuh pada hari ini, termasuk 25 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 1,144 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,801 kes.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan, di kalangan kes-kes aktif tersebut, tujuh kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Manakala 29 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,857 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 239,143 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]