COVID-19: Kes keseluruhan kekal 174

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes jangkitan baharu COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 174 orang, sementara hanya tinggal dua kes yang masih aktif.

Kes terakhir jangkitan tempatan ialah pada 6 Mei iaitu 259 hari yang lalu, di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 33 kes.

Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbar situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, turut mengongsikan bahawa seramai 647 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 11,564 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 313 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 88,304 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.