COVID-19: Kes positif di Malaysia kembali meningkat

KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Sebanyak 21 kes jangkitan baharu  COVID-19 dalam negara dilaporkan hari ini melibatkan 16 kes penularan tempatan dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,861 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 161 kes.

“Daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, lima kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja,” menurut kenyataan media perkembangan COVID-19.

Katanya, lima kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Singapura, Australia, Filipina, Pakistan dan Qatar.

Sementara itu, daripada 16 kes penularan dalam negara, 13 kes melibatkan warganegara dan tiga kes bukan warganegara. – Bernama