COVID-19: Korea Selatan terus berdepan ancaman

SEOUL, 1 JUN – Selepas penularan wabak COVID-19 membabitkan pengunjung kelab dan pusat hiburan, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan hari ini sekali lagi berdepan cabaran dengan jangkitan kluster gereja, lapor agensi berita Yonhap.

Korea Selatan melaporkan 35 lagi kes COVID-19, termasuk 30 jangkitan tempatan, menjadikan jumlah kes kepada 11,503, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

Kes hari ini mencatatkan sedikit kenaikan berbanding 27 pada hari sebelumnya.

Daripada 30 jangkitan tempatan, 24 kes dikesan membabitkan pengunjung gereja di wilayah Gyeonggi.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan kepada pihak berkuasa kesihatan kemungkinan gelombang jangkitan besar-besaran berlaku di kawasan metropolitan yang padat penduduk – Seoul dan kawasan sekitarnya.

Anggota perubatan memakai sut pelindung diri ketika mengambil sampel ujian COVID-19 di pusat pengujian virus sementara di Seoul. Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan sekali lagi berdepan cabaran dengan jangkitan kluster gereja, lapor agensi berita Yonhap. – AFP

Di Incheon sahaja sebanyak 18 kes baharu dilaporkan diikuti 12 di Wilayah Gyeonggi dan satu di Seoul.

Pada masa sama Korea Selatan masih bertungkus lumus menangani kes membabitkan pusat logistik e-dagang Coupang di Bucheon, barat Seoul dan kluster kelab malam dan pusat hiburan Itaewon.

Sekurang-kurangnya 112 kes dikesan di pusat logistik itu sejak kes pertama dilaporkan pada akhir Mei.

Jumlah kes dalam kalangan pengunjung kelab malam dan pusat hiburan di Itaewon pula mencecah 270 pada tengah hari Ahad, menurut KCDC.

Berikutan itu, pihak berkuasa kesihatan menjalankan kempen penjarakan sosial yang lebih ketat di Seoul dan wilayah sekitarnya selama dua minggu sehingga 14 Jun.

“Langkah pencegahan di bandar raya Seoul perlu diperketatkan kerana rantaian penularan yang sukar dikesan menyebabkan kes meningkat dengan mendadak,” kata pegawai kanan kesihatan Yoon Tae-ho dalam satu taklimat.

Sementara itu, Korea Selatan mencatat lima lagi kes import dan satu kematian, menjadikan angka korban kini seramai 271.

Jumlah mereka yang tidak lagi dikuarantin berjumlah 10,422 orang, meningkat 17 orang berbanding hari sebelumnya.

Sejak 3 Januai lalu, Korea Selatan sudah melakukan 921,391 ujian saringan COVID-19. – Bernama