COVID-19: Lapan individu dikenakan tindakan

KOTA KINABALU, 25 MAC – Seramai lapan individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit dijangkiti COVID-19 di Sabah dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah selama 14 hari, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata lapan individu terbabit masing-masing tiga dari Papar dan lima dari Tawau dan kesemua mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Seksyen tersebut memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai untuk memerintahkan individu diasingkan di rumah dan dikehendaki mematuhi segala perintah yang ditetapkan. – Bernama