COVID-19: Lebih 5,000 maut di AS

WASHINGTON, 2 APRIL – Lebih 5,000 orang maut akibat COVID-19 di Amerika Syarikat, lapor agensi berita Xinhua memetik perangkaan terbaru Johns Hopkins University semalam.

Angka korban di seluruh Amerika mencecah 5,119, manakala jumlah kes positif sudah melebihi 215,000, menurut data yang dikemas kini Pusat Sistem Sains dan Kejuruteraan universiti itu.

Negeri New York kekal menjadi pusat penularan wabak berkenaan dengan lebih 83,000 kes dan 2,219 kematian, kedua-dua data itu adalah yang tertinggi di wilayah dan negeri Amerika.

Di seluruh dunia, sejumlah 937,170 kes dan 47,235 kematian dicatatkan dengan hampir 200,000 sudah sembuh akibat penyakit itu. – Bernama