COVID-19 lepasi angka 12,000 di Singapura

SINGAPURA, 24 APRIL – Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan tambahan 897 kes jangkitan COVID-19, menjadikan keseluruhan di republik tersebut kini 12,075.

Kementerian itu menyebut majoriti besar kes baru hari ini, melibatkan pekerja asing yang menghuni asrama pekerja manakala hanya 13 kes melibatkan warganegara Singapura ataupun Penduduk Tetap. MOH dalam satu kenyataan menyatakan, mereka masih mendapatkan butiran penuh kes, dan kemas kini maklumat akan diberikan kemudian. Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan 1,037 kes baharu COVID-19 tanpa kes import, 22 kes komuniti, manakala 30 membabitkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja.

Sebanyak 95 peratus kes baru semalam, membabitkan penghuni asrama pekerja. Dalam kenyataan yang lebih lengkap dikeluarkan pada lewat malam Khamis MOH berkata, mereka mencatatkan pertambahan kes yang banyak kerana melakukan lebih banyak ujian saringan.

“Kebanyakan kes mempunyai gejala ringan dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad biasa di hospital. Tiada dalam kalangan mereka di unit rawatan rapi,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah fasiliti mega sedang dibina di Terminal Tanjong Pagar bagi menempatkan hingga 15,000 pesakit COVID-19 serta pekerja asing, dalam keadaan kes wabak itu terus meningkat di Singapura, menurut laporan The Straits Times, semalam.

Sejak beberapa hari lalu, laporan itu menyebut, tinjauan ke kawasan berkenaan mendapati khemah besar sedang dipasang menggunakan kren di lokasi terbabit. Lori membawa bahan binaan bangunan dilihat memasuki kawasan terminal itu yang telah dikosongkan sejak pemindahan operasi pelabuhan pada 2017 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan pelabuhan mega masa hadapan di Tuas. Hingga Rabu lalu, menurut laporan itu, sekurang-kurang lima atau enam barisan khemah telah siap dipasang di terminal berkenaan.Pusat isolasi komuniti menempatkan pesakit COVID-19 sedang pulih dan mereka yang mempunyai simptom ringan, di mana ia termasuk Singapore Expo, Changi Exhibition Centre serta D’Resort NTUC di Pasir Ris, menurut laporan media itu. Kesemua 10,000 pekerja asing dalam perkhidmatan penting yang tinggal di asrama khas telah dipindahkan ke 18 kawasan penginapan alternatif seperti kem tentera, hotel, dewan sukan dan blok perumahan kerajaan yang kosong.

Kapal persiaran juga dicadang untuk menempatkan pekerja dengan satu daripadanya ialah SuperStar Gemini yang ketika ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar. – Bernama

Pemandu sebuah kereta melalui jalan yang lengang di daerah kewangan di Singapura, 24 April, ketika negara itu dikenakan perintah berkurung separa bagi menghalang penularan koronavirus. – AFP