COVID-19: Malaysia catat 31 kes baharu

KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Sebanyak 31 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan 28 kes penularan dalam negara dan tiga kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 9,946, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 28 kes penularan tempatan, 19 kes adalah warga Malaysia manakala sembilan lagi bukan warganegara, dengan 23 kes di Sabah, empat di Negeri Sembilan melibatkan Kluster Bunga dan satu kes di Kluster Sungai, Kedah.

“Di Sabah, 17 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dengan lapan kes melibatkan bukan warganegara, satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, satu kes saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu.

“Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Kudat, satu kes saringan rujukan ke Hospital Tawau, satu kes saringan kontak rapat bagi kes ke-9,454 iaitu anak kepada kes ke-9,454, dan satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Bagi tiga kes import pula, Dr Noor Hisham berkata kesemuanya adalah dari Indonesia melibatkan dua kes warga Malaysia di Sabah dan satu kes warga Indonesia di Kuala Lumpur, yang memasuki negara pada 31 Ogos lepas. – Bernama