COVID-19: Malaysia catat 649 kes baharu, 685 pulih

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Kes pulih COVID-19 hari ini mengatasi angka kes positif dengan 685 kes pulih dilaporkan, manakala kes baharu adalah sebanyak 649 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif itu sebanyak 642 kes adalah penularan dalam negara, manakala tujuh lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Memperincikannya, beliau berkata 352 kes dilaporkan di Sabah manakala 132 kes di Selangor, Negeri Sembilan (43), Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (lapan), Perak (lima), manakala masing-masing satu kes di Pahang, Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

“Di Sabah, 55 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk 11 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sakti dan Kluster Tuguson, 170 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 127 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Di Selangor, 70 kes daripada kluster-kluster, termasuk enam kes dari kluster baharu iaitu Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan, 41 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 21 kes daripada lain-lain saringan COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini. – Bernama