COVID-19: Malaysia catat enam, S’pura 40 kes baharu

MALAYSIA, SINGAPURA, 6 SEPT – Kes positif COVID-19 kekal mencatat satu angka hari ini dengan enam kes baharu melibatkan tiga kes penularan tempatan dan tiga kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kes penularan dalam negara itu membabitkan dua kes daripada Kluster Benteng LD dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan di sebuah pusat perubatan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata tiga kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang mendapat jangkitan dari Indonesia dan Bangladesh, dengan kesemua mereka merupakan rakyat asing.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,397 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 154 kes, dengan dua kes pulih hari ini yang menjadikan 9,115 sudah pulih,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.

Sementara itu, Singapura mengesahkan 40 lagi kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul jangkitan tersebut di republik itu sebanyak 57,022 kes.

Selain itu, terdapat 13 kes import yang kesemuanya telah diletakkan di bawah notis kuarantin di rumah, kata kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 923 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,225 jangkitan dalam komuniti dan selebihnya sebanyak 53,834 kes lagi melibatkan penghuni asrama pekerja.

Setakat ini, seramai 56,267 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan manakala 50 masih dirawat di hospital namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi. – Bernama