COVID-19: Malaysia catat kes harian tertinggi

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Malaysia hari ini merekodkan 22,242 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,466,512. 

Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes tertinggi berjumlah 6,858 diikuti Sabah (2,413), Pulau Pinang (1,867), Kedah (1,852), Kuala Lumpur (1,587) dan Johor (1,477).

Sebanyak 1,403 kes pula direkodkan di Sarawak, Kelantan (1,351), Perak (1,036), Pahang (675), Melaka (579), Negeri Sembilan (577), Terengganu (487), Perlis (50), Putrajaya (25), dan Labuan (5). 

Semalam, Malaysia merekodkan 19,631 kes baharu wabak itu.

Penerima vaksin tidak melepas peluang untuk bergambar kenangan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam. – Bernama

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan hari ini memaklumkan daripada 22,242 kes, 430 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala baki 21,812 kes (98.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya secara keseluruhan, 18,631 kes (83.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.

Dalam pada itu, audit data terbaharu terhadap jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini menunjukkan hanya empat kematian atau 0.03 peratus membabitkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Menerusi ciapan Twitter hari ini, Dr Noor Hisham berkata, keseluruhan 12,993 kematian direkodkan sejak penularan pandemik dilaporkan dalam negara dengan 80 kematian atau 0.6 peratus hanya menerima satu dos suntikan vaksin.

Dalam tempoh lebih 24 jam sehingga tengah hari semalam, sebanyak lagi 293 kematian dicatatkan akibat COVID-19, menjadikan keseluruhan 13,077 kematian. – Bernama