COVID-19: Malaysia rekod 13 kes baharu

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Sejumlah 13 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 8,956 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 13 kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Beliau menjelaskan kes import itu dari United Kingdom (dua kes di Kuala Lumpur), India (dua kes di Kuala Lumpur), Filipina (satu kes di Kuala Lumpur), Pakistan (satu kes di Kuala Lumpur), Gambia dan Ukraine masing-masing satu kes di Selangor.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 220 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada lima kes penularan di dalam negara, ia melibatkan tiga kes dalam kalangan warganegara, iaitu di Johor yang berkaitan satu kes saringan di tempat kerja, di Sarawak (satu kes Kluster Sentosa) dan Sabah (satu kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth).

Dua kes di kalangan bukan warganegara melibatkan satu kes Kluster Mambong di Sarawak dan satu kes saringan pendatang tanpa izin di Perlis. – Bernama

Pengawal keselamatan memasang tali perentang di pintu masuk ke Medan Niaga Satok, Kuching, Sarawak yang ditutup selama sehari kepada orang ramai bermula kelmarin untuk mencegah penularan wabak COVID-19. – Bernama