COVID -19 mampu menyerang otak

WASHINGTON, 10 SEPT – Pesakit COVID-19 yang mengalami masalah sakit kepala, kekeliruan dan kecelaruan mungkin berdepan dengan keadaan di mana virus itu menyerang bahagian otak pula.

Penemuan hasil kajian itu dianggap masih terlalu awal tetapi beberapa bukti baharu menyokong teori yang sebelum ini tidak banyak diuji.

Menurut kajian yang diketuai oleh pakar imunologi Yale, Akiko Iwasaki, virus itu dapat meniru dan terhasil dengan banyak di dalam otak, dan kehadirannya menyebabkan sel-sel otak oksigen bengkak, walaupun belum dapat dijelaskan mengapa ia berlaku.

Ketua Jabatan Neurologi di University of California, San Francisco, S Andrew Josephson, memuji teknik yang digunakan dalam kajian itu.

Katanya, memahami sama ada virus itu memberi kesan kepada otak secara langsung atau tidak adalah sangat penting. Namun, tambahnya, penyelidik perlu sentiasa berhati-hati sehingga kajian itu dibaca dan disahkan oleh rakan kajian yang lain.

Katanya, tidak mengejutkan jika SARS-CoV-2 juga mampu memecahkan penghalang darah ke otak, struktur yang mengelilingi saluran darah otak dan cuba menyekat bahan asing.

Misalnya, virus Zika juga melakukan proses sama iaitu menyebabkan kerosakan otak janin yang ketara.

Doktor percaya sehingga sekarang bahawa kesan neurologi yang dilihat pada kira-kira separuh daripada semua pesakit mungkin adalah hasil tindak balas imuniti yang tidak normal.

Tindak balas yang dikenali sebagai ‘ribut sitokin’ itu menyebabkan keradangan otak dan ia bukannya serangan virus secara langsung. – AFP