COVID-19 menular pantas di serata dunia

PARIS, 8 OGOS – Pandemik COVID-19 terus merekodkan peningkatan di hampir semua pelosok dunia kecuali di Amerika Latin dan Caribbean dengan lonjakan ketara dicatatkan di hampir separuh Amerika Utara.

Berdasarkan data diperoleh AFP, penularan pantas koronavirus direkodkan hampir di seluruh negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang menyaksikan peningkatan 44 peratus kes harian sejak minggu lalu.

Selain itu, kes juga dikesan meningkat 20 peratus di Oceania, 11 peratus di Timur Tengah, enam peratus di Asia, tiga peratus di Eropah dan satu peratus di Afrika.

Hanya Amerika Latin dan Caribbean merekodkan penurunan 13 peratus ming-gu lalu.

Berdasarkan kiraan AFP hingga Khamis lalu, jumlah kes harian global COVID-19 meningkat sebanyak enam peratus iaitu kepada 612,000 kes.

COVID-19 terus mere-kodkan peningkatan sejak pertengahan Jun disebabkan oleh varian yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi iaitu Delta, yang kini berleluasa di banyak negara.

Jumlah yang direkodkan itu hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada bilangan sebenar kes kerana setiap negara mempunyai kaedah pengiraan dan ujian berbeza.

AS merekodkan jumlah paling tinggi kes baharu dengan 96,800 jangkitan iaitu penambahan 44 peratus.

Ia diikuti India dengan 40,600 kes baharu dilapor-kan, iaitu peningkatan lima peratus selain Indonesia (33,900 kes, penurunan 20 peratus). – AFP

Seorang remaja berusia 17 tahun menerima dos pertama vaksin Pfizer di klinik vaksinasi di Weingart Los Angeles, California. – AFP