COVID-19: Mesir lapor 347 kes baharu

KAHERAH, 13 MEI – Jumlah kes COVID-19 di Mesir meningkat kepada 10,093 selepas 347 lagi jangkitan baharu direkodkan pada kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, 11 pesakit meninggal dunia meningkatkan jumlah korban kepada 544 orang, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Khaled Megahed menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata seramai 154 pesakit lagi dibenarkan pulang menjadikan jumlah keseluruhan 2,326 orang.

Terdahulu sempena Hari Jururawat Antarabangsa, yang disambut pada 12 Mei setiap tahun, Megahed menzahirkan penghargaannya atas usaha dan pengorbanan jururawat yang menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Mesir di tengah-tengah perjuangan melawan wabak COVID-19.

Presiden Mesir Abel-Fattah al-Sisi turut merakamkan penghargaannya dan menyifatkan ‘pengorbanan mereka tidak ternilai terutama ketika negara menghadapi saat mencabar ini’.

Sejak seminggu lalu, kerajaan Mesir mula melonggarkan sekatan serta membuka semula perkhidmatan dan pejabat.

Mesir melaksanakan perintah berkurung waktu malam selama sembilan jam di seluruh negara dan peraturan itu masih dikuat kuasa sepanjang Ramadan. – Bernama