COVID-19: M’sia rekod kes jangkitan harian tertinggi

PUTRAJAYA, 18 OKT – Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes dilaporkan hari ini, menjadikan angka keseluruhan 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut pada 7,049 kes.

Beliau berkata tujuh kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan kes kumulatif kematian setakat ini 187 kes.

Bagaimanapun, Malaysia melaporkan berita baik dengan kes pulih harian tertinggi pada 701 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 13,262 kes atau 64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes (80.6 peratus),” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini. Dr Noor Hisham berkata daripada 871 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, iaitu India, Nepal dan Singapura. – Bernama