COVID-19: mula bekerja bukan sesuatu yang mudah

NEW YORK – Ketika pemimpin negeri dan persekutuan bergegas untuk ‘membuka semula’ ekonomi Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah pandemik koronavirus, beberapa buah syarikat telah mengambil langkah pertama membawa semula pekerja untuk kembali bekerja, di mana bagi kebanyakan kes ia tidak semudah yang disangka.

Syarikat automotif di Detriot, yang telah menggantung pengeluaran kira-kira sebulan yang lalu, sedang mendesak kilang-kilang untuk dibuka semula dengan negeri-negeri lain seperti Michigan bersedia untuk mengurangkan arahan bekerja dari rumah mereka. Fiat Chrysler sudah mengumumkan akan mula bekerja pada 4 Mei; General Motors dan Ford turut tidak mahu ketinggalan.

Dalam perundingan dengan kesatuan pekerja automotif, pembuat automotif menawarkan gear perlindungan, peralatan sanitasi yang kerap, dan pengambilan suhu badan pekerja untuk mengesan mana-mana pekerja yang mengalami demam panas untuk tidak berada di dalam kilang. Langkah-langkah ini kata mereka telah dilakukan di kilang yang dibina semula dan sekarang menghasilkan peralatan perubatan.

Matt Himes, yang bekerja sebagai pemasang pintu kereta SUV di kilang GM di Spring Hill, Tennessee, berkata dia bersedia untuk kembali bekerja. Tetapi dia turut merasa risau jika dijangkiti virus.

“Saya rasa semua orang perlu merasa risau mengenainya, tetapi anda tidak boleh mengurung kami selamanya,” katanya, dan menambah ia adalah mustahil untuk mengekalkan penjarakan sosial di bahagian pemasangan.

Gambar menunjukkan kilang pengeluar kereta Ford di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat (AS). Peniaga-peniaga AS sedang mencari jalan untuk kembali beroperasi di tengah-tengah pandemik koronavirus. – AP
Kawasan tempat duduk di Plaza Assi yang ditutup berikutan penularan wabak. Pemimpin negeri dan persekutuan berdebat mengenai bila dan berapa cepat untuk ‘membuka semula’ ekonomi AS di tengah-tengah pandemik koronavirus. – AP
Seorang pengunjung sedang berjalan di The Fashion Mall yang kosong di Keystone, Indianapolis. Operator kedai membeli-belah dan kedai makan mengambil pengalaman dari China bagaimana mereka membuka semula kedai-kedai mereka. – AP

“Anda bekerja dalam jarak tiga atau empat kaki dari semua orang,” katanya. “Orang ada di depan kita, orang ada di sebelah kita.”

Selaras dengan garis panduan yang diumumkan oleh Rumah Putih minggu lalu, beberapa buah negeri yang ditadbir oleh parti Republikan telah mula mengembalikan akses kepada tempat awam – bukan sahaja pantai dan taman, tetapi di negeri seperti Georgia, salon rambut, jim, tempat boling, kedai makan dan panggung wayang juga turut dibukakan kepada orang awam.

Pegawai-pegawai kesihatan risau mengenai langkah tersebut, jika ia tidak dirancang dengan teliti, mungkin akan membangkitkan gelombang kedua jangkitan COVID-19. Beberapa buah syarikat yang tidak pernah ditutup berkongsi langkah-langkah keselamatan. Kilang pembungkusan daging di Midwest telah melaporkan beratus-ratus kes koronavirus di antara tenaga kerja mereka. Beberapa buah darinya telah ditutup dalam usaha untuk membendung penularan.

Atas sebab-sebab berkenaan, eksekutif perlu menjadi lebih fleksibel, kata Nicholas Bloom, profesor ekonomik di Universiti Stanford. ‘Anda perlu mempunyai beberapa rancangan, tetapi rancangan tersebut terpaksa dikemas kini mengikut waktu,’ katanya.

Kedai-kedai, kedai makan dan operator pusat membeli-belah sedang melihat pengalaman dari China untuk mengetahui bagaimana mereka membuka semula kedai-kedai, kata Meghann Martindale, ketua bahagian penyelidikan di CBRE, sebuah firma hartanah.

Gedung membeli-belah misalnya, kemungkinan tidak akan membuka kedai makan dan kawasan permainan yang besar untuk sementara waktu, dan kompleks membeli-belah berkemungkinan akan mengehadkan kemasukan bagi mengawal kemasukan pelanggan.

Kedai permainan Build-A-Bear Workshop, yang mengendalikan 350 buah kedai yang kebanyakannya adalah di pusat membeli-belah, sedang mencari jalan baharu untuk mengurangkan kerisauan mengenai koronavirus, seperti membenarkan keluarga membuat perjanjian supaya mereka boleh mereka dan mengisi sendiri permainan mewah mereka tanpa ada orang lain di sekeliling, kata pengasas dan bekas CEO Maxine Clark.

Mereka turut memberikan pekerja mereka penutup mulut dan hidung yang memaparkan gambar beruang supaya mereka tidak menakutkan kanak-kanak.

Amazon, telah banyak menerima kritikan kerana memecat pekerja yang menuntut lebih banyak perlindungan dari koronavirus untuk para pekerja, kini berkata mereka sedang membangunkan makmal dalaman yang berpotensi untuk memberikan ujian koronavirus kepada semua pekerja, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang gejala.

Amazon berkata pekerja yang dipecat adalah disebabkan kerana mereka melanggar garis panduan penjarakan sosial dan pelanggaran lainnya.

Banyak syarikat teknologi membuat dasar bekerja dari rumah sejak awal lagi, kerana kebanyakan dari pekerja mereka mampu untuk melakukan tugasan dari rumah. Itu memberikan keistimewaan kepada Facebook memerlukan sebahagian besar pekerjanya untuk terus bekerja dari rumah hingga sekurang-kurangnya akhir bulan Mei. Mereka yang tidak dapat kembali dengan mudah selepas itu – seperti mereka tidak mempunyai pilihan dalam penjagaan kanak-kanak yang lebih baik – mereka boleh meneruskan bekerja dari rumah sekurang-kurangnya sepanjang musim panas.

Tetapi beberapa buah firma teknologi tinggi bergegas untuk kembali bekerja. Andrei Taraschuk, jurutera perisian yang bekerja untuk pembuat cip Broadcom di Bloomfield, Colorado, berkata pekerja mengetahui perkara itu selepas perjumpaan di dewan bandar pada hari Jumaat bahawa mereka dimestikan untuk kembali bekerja satu minggu setiap empat hari bermula 27 April.

Menurut Taraschuk, syarikat memberitahu pekerja bahawa mereka akan ditempatkan secara rambang ke dalam satu pasukan baharu, bukan mengikut pasukan yang sedia ada, dan kedatangan mereka akan dipantau menerusi pemeriksaan lencana.

Syarikat akan menyediakan penutup mulut dan hidung serta memeriksa suhu badan.

Mereka yang tidak mahu untuk datang ke pejabat akan mempunyai pilihan untuk bekerja sehingga 90 hari tanpa menerima bayaran gaji.

“Kami telah bekerja dari rumah sejak berminggu-minggu,” Taraschuk memberitahu The Assiciated Press dalam temu bual.

“Ia adalah pelik. Kami membuat perisian.”- AP