‘COVID’-19 mungkin jadi endemik, perlukan pendekatan berbeza’

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COVID-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, justeru pendekatan berbeza diperlukan untuk menanganinya, kata Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata hal ini diperlukan sekalipun negara berjaya menurunkan bilangan kes harian serta mencapai imuniti kelompok.

“Seperti denggi, kita terus mengambil langkah pencegahan dari segi kebersihan diri. Mungkin kita perlu meneruskan amalan pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat sesak dan amalan ini agak meluas di banyak negara di Asia Timur seperti Jepun dan China,” katanya dalam program Mid-Day Update yang disiarkan Bernama TV hari ini.

Dr Jemilah berkata suntikan vaksin bermusim juga mungkin diperlukan untuk mengawal COVID-19  seperti yang dilakukan di Eropah bagi mengekang flu atau demam selesema bermusim. – Bernama