COVID-19: Negeri AS saman pemimpin China

WASHINGTON, 22 APRIL – Negeri Missouri di Amerika Syarikat (AS) telah menyaman kepimpinan China berhubung koronavirus, mendorong teguran marah dari Beijing hari ini berhubung dakwaan ‘yang tidak masuk akal itu.’

Missouri berusaha mendapatkan pampasan mengenai apa yang digambarnya sebagai penipuan sengaja dan tindakan yang tidak mencukupi untuk menghalang pandemik. Tindakan guaman yang pertama seumpama itu diambil di tengah gesaan dari Kongres untuk menghukum China dan satu kempen oleh Presiden Donald Trump untuk menumpu pada peranan Beijing tatkala beliau menghadapi kritikan berhubung pengendaliannya sendiri ke atas krisis itu.

Missouri, dipimpin oleh Parti Republikan, memfail satu tindakan guaman di mahkamah persekutuan berusaha mendapatkan sejumlah bayaran pampasan dan injunksi mengenai tindakan berterusan oleh China yang didakwa termasuk menyembunyikan peralatan perlindungan.

“Kerajaan China berdusta kepada dunia mengenai risiko dan ciri-ciri berjangkit COVID-19, menutup mulut pemberi maklumat dan tidak melakukan apa-apa untuk mencegah penyebaran penyakit itu,” kata Peguam Negara Missouri, Eric Schmitt.

“Mereka mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka,” kata beliau.

Memetik satu anggaran di mana Missouri mungkin kerugian puluhan bilion dolar disebabkan virus dan tindakan untuk menghalangnya, tindakan guaman itu menuduh Parti Komunis China ‘mengetahui, sengaja dan tidak menghiraukan hak negeri dan penduduknya.”

Tindakan guaman merujuk kepada ‘penindasan berita virus oleh pihak berkuasa China apabila ia meletus di Wuhan, termasuk menutup mulut pemberi maklumat.’

Ia juga berkata China pada mulanya berkata tidak adanya bukti jangkitan manusia-kemanusia. – AFP