COVID-19: Pegawai perubatan China bantu Nigeria

ABUJA, 9 APRIL – Sekumpulan pegawai perubatan China tiba di Nigeria semalam untuk membantu memerangi pandemik koronavirus, meskipun menerima kritikan marah daripada pekerja kesihatan di negara Afrika barat itu.

Kumpulan yang terdiri daripada 15 pengamal perubatan disambut oleh pegawai kanan di landasan kapal terbang Abuja selepas dihantar untuk bertugas di sana selama sebulan.

China, di mana wabak pertama COVID-19 berlaku, telah menghantar doktor dan bekalan ke seluruh dunia dalam usaha untuk mempertingkat imejnya.

Namun tindakan untuk menghantar bantuan ke Nigeria mencetuskan reaksi marah daripada kesatuan doktor terbesar di negara itu.

Pada Ahad, Persatuan Perubatan Nigeria mengecam penghantaran sebagai ‘memalukan’ kepada pekerja kesihatan yang memerangi penyakit tersebut di negara Afrika ‘di bawah keadaan amat buruk.’

“Ia menghina moral tenaga kerja kesihatan barisan depan jika kerajaan masih meneruskan untuk menjemput doktor China,” kata satu kenyataan. – AFP

Pegawai perubatan China berdiri di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikwe di Abuja ketika mereka tiba di Nigeria untuk membantu memerangi COVID-19. – AFP