COVID-19: Pekerja Amazon di AS dikuarantin

SAN FRANCISCO, 4 MAC – Amazon mengesahkan kelmarin bahawa seorang pekerja yang bekerja di syarikat gergasi internet di Seattle telah dikuarantin selepas diuji positif untuk koronavirus (COVID-19).

“Kami menyokong pekerja yang terlibat dalam kuarantin,” kata Amazon sebagai tindak balas kepada siasatan AFP.

Amazon menghantar memo dalaman yang menjelaskan bahawa pekerja itu pulang selepas merasa tidak sihat di tempat kerja minggu lalu dan tidak kembali ke pejabat, menurut satu laporan di CNBC.

Amazon mempunyai ‘kampus bandar’ di Seattle, dengan pejabat merentas bandar.

Jumlah korban kematian akibat virus di Amerika Syarikat telah meningkat kepada sembilan, sementara jumlah keseluruhan jangkitan juga meningkat.

Majoriti kes telah berlaku di China, tetapi Korea Selatan, Itali dan Iran juga turut teruk dilanda wabak tersebut.

Virus ini telah merebak ke Amerika Latin dan Afrika, meningkatkan kebimbangan di negara-negara yang sememangnya mempunyai infrastruktur kesihatan yang lemah. – AFP

Gambar fail menunjukkan logo Amazon di pusat pengedaran di Moenchengladbach, Jerman pada 17 Disember 2019. – AFP